Falsafah dan pengaruh Robert Owen

Owen menguji idea-idea sosial dan ekonominya di New Lanark, di mana beliau meraih keyakinan para pekerjanya dan terus berjaya kerana meningkatkan kecekapan pengeluaran kilangnya. Komuniti itu juga menempah nama di mata dunia. Golongan reformis sosial, negarawan, dan kerabat diraja, termasuklah bakal Tsar Nikolai I dari Rusia, melawat New Lanark untuk mengkaji kaedah operasi dan pendidikan di situ.[7][13] Para pelawat rata-rata menyambut baik usaha yang dijalankan di situ.[14]

Kejayaan terbesar Owen ialah usahanya dalam memperjuangkan pendidikan orang muda dan pengasuhan kanak-kanak. Sebagai perintis penjagaan bayi di Britain, terutamanya Scotland, Owen memberikan alternatif kepada "pendekatan autoritarian yang lazim digunakan untuk pendidikan kanak-kanak."[15] Kanak-kanak yang dibesarkan di dalam sistem beliau rata-ratanya berbudi pekerti secara bersahaja; semuanya sihat, makmur dan bahagia belaka, hampir tiada kes ketagihan arak mahupun kelahiran anak luar nikah. Owen tetap menjalin hubungan erat dengan para pekerja, dan semua operasi kilang berjalan dengan lancar dan teratur. Lebih-lebih lagi, perniagaannya juga laku.[7]

Walau bagaimanapun, sesetengah skim Owen tidak disenangi oleh rakan-rakannya yang memaksa beliau untuk mengaturkan pelabur lain untuk membeli bahagian perniagaannya pada 1813 pada harga $800,000 (AS).[7] Pelabur-pelabur baru, yang termasuk Jeremy Bentham dan William Allen, seorang Quaker terkenal, berpuas hati untuk menerima pulangan £5000 ke atas modal laburan mereka. Perubahan pemilikan juga memberi Owen peluang untuk memperluas skop kedermawanannya. Beliau memperjuangkan penambahbaikan hak-hak pekerja, undang-undang buruh kanak-kanak, dan pendidikan percuma untuk kanak-kanak.

Pada tahun 1813, Owen mengarang dan menerbitkan A New View of Society, or Essays on the Principle of the Formation of the Human Character (Pandangan Baru Terhadap Masyarakat; atau Karangan Tentang Prinsip Pembentukan Perwatakan Manusia), yang pertama dari empat esei yang dikarang oleh beliau untuk menjelaskan prinsip-prinsip di sebalik falsafah beliau yang bersifat reformis dan sosialistik.[16] Owen pada mulanya menjadi pengikut kepada ahli liberal klasik dan utilitarian Jeremy Bentham yang percaya bahawa pasaran bebas, khususnya hak pekerja untuk bergerak dan memilih majikan mereka, akan membebaskan pekerja dari kuasa kapitalis yang berlebihan. Bagaimanapun, Owen mengembangkan pandangan sendiri yang pro-sosialis. Di samping itu, Owen sebagai deis mengkritik agama terancang seperti Gereja England lalu membangunkan sistem kepercayaan sendiri.[17]

Owen merasakan bahawa perwatakan manusia terbentuk daripada keadaan-keadaan di luar kawalan individu. Oleh yang demikian, individu tidak boleh dipuji atau dipersalahkan atas tingkah laku atau situasi hidup mereka. Atas prinsip inilah Owen menyimpulkan bahawa rahsia di sebalik pembentukan perwatakan insan yang baik adalah terletaknya mereka di bawah pengaruh persekitaran yang baik dari segi fizikal, moral dan sosial dari usia yang terawal. Pengertian tanggapan terhadap sikap tidak bertanggungjawab manusia serta kesan pengaruh awal terhadap perwatakan individu inilah yang menjadi asas kepada sistem pendidikan dan pembaharuan sosial Owen.[18]

Berpandukan pengamatan, pengalaman dan pemikirannya sendiri, Owen menganggap pandangannya mengenai sifat manusia sebagai yang asli dan "juzuk yang paling asas dan penting dalam ilmu kemasyarakatan yang berkembang pesat." [19] Falsafah Owen dipengaruhi oleh pandangan Sir Isaac Newton terhadap undang-undang semula jadi, malah pandangan beliau menyerupai Plato, Denis Diderot, Claude Adrien Helvétius, William Godwin, John Locke, James Mill, dan Jeremy Bentham. Owen tidak menerima pengaruh langsung secara daripada ahli-ahli falsafah Pencerahan.[20]

Usaha-usaha Owen di New Lanark terus dihargai di seluruh Britain dan di benua Eropah. Beliau merupakan "perintis pembaharuan perkilangan, bapa usahasama distributif, dan pengasas taman asuhan kanak-kanak." Skim pendidikan para pekerjanya termasuk pembukaan Institute for the Formation of Character (Institut Pembentukan Watak) di New Lanark pada tahun 1818. Institut tersebut di samping program-program pendidikan lain di New Lanark menyediakan pendidikan percuma untuk golongan kanak-kanak hingga dewasa.[16] Di samping itu, beliau bersungguh-sungguh menyokong undang-undang kilang sehingga berkesudahan dengan penggubalan Akta Kilang Kapas dan Kilang 1819. Owen juga mengadakan temubual dan perhubungan dengan ahli-ahli terkemuka kerajaan British, termasuk Perdana Menteri Robert Banks Jenkinson, dan Lord Liverpool. Owen turut bertemu dengan ramai pemerintah dan negarawan seluruh Eropah.

Owen juga menerima guna prinsip-prinsip baru untuk meningkatkan tahap mutu barangan yang dihasilkan oleh pekerja. Sebuah kubus yang dilukis pelbagai wajah berlainan warna telah dipasang di atas setiap tempat kerja jurumesin. Setiap wajah menandakan satu tahap kualiti dan kuantiti barangan yang disiapkan oleh pekerja. Tujuannya adalah untuk mendorong pekerja untuk melakukan yang terbaik. Walaupun tidaklah begitu berkesan dengan sendiri, namun keadaan para pekerja dan keluarga-keluarga mereka di New Lanark sangat menyenangkan untuk zaman itu.

Lapan jam sehari

Owen mengemukakan tuntutan dasar lapan jam sehari pada 1810, lalu memulakan dasar tersebut di New Lanark. Menjelang tahun 1817, beliau telah merangka matlamat hari kerja lapan jam dan mencipta slogan: "Lapan jam kerja, Lapan jam rekreasi, Lapan jam berehat."

Model untuk sosialisme (1817)

Patung yang memperingati Owen di Manchester, di hadapan The Co-operative Bank.

Owen memeluk fahaman sosialisme pada tahun 1817, satu titik perubahan dalam hidupnya, lalu memulakan usaha-usaha khusus untuk melaksanakan apa yang digambarkannya sebagai "Pandangan Baru Masyarakat." [12] Owen menggariskan pendirian beliau dalam satu laporan kepada jawatankuasa House of Commons tentang undang-undang kemiskinan dalam negara. Di samping itu, apabila negara dibebani kesengsaraan rakyat dan kelesuan perniagaan selepas Perang Napoleon, kerajaan British meminta nasihat daripada Owen tentang cara-cara untuk meringankan kesusahan industri. Walaupun Owen menyifatkan bahawa kesengsaraan adalah kesan langsung daripada perang, tetapi beliau juga berpendapat bahawa penyebab utama kesusahan ini ialah persaingan antara buruh manusia dengan jentera lalu mengesyorkan penubuhan masyarakat yang mampu diri.

Owen mencadangkan bahawa masyarakat sekitar kira-kira 1,200 orang ditempatkan di tanah seluas 1,000 hingga 1,500 ekar (405 hingga 607 he), kesemuanya tinggal di sebuah balai besar yang mempunyai dapur dan ruang makan kongsi. (Saiz komuniti yang dicadangkan itu mungkin dipengaruhi oleh saiz perkampungan yang didirikan di New Lanark.) Beliau turut mencadangkan agar setiap keluarga diberi pangsapuri persendirian sendiri beserta tanggungjawab untuk menjaga anak-anak mereka sehingga mereka mencapai usia tiga tahun. Selepas itu, kanak-kanak akan dibesarkan oleh komuniti secara beramai-ramai, tetapi ibu bapa mereka akan dapat menziarahi mereka pada waktu makan dan pada masa-masa lain yang tertentu. Owen mencadangkan supaya masyarakat sosialis ini dapat ditubuhkan oleh individu, mukim, daerah, atau unit-unit pentadbiran yang lain; setiap satu akan dibekalkan khidmat penyeliaan yang berkesan oleh pihak yang berkelayakan. Kerja dan nikmat hasilnya haruslah dikongsi oleh seluruh komuniti. Owen percaya bahawa ideanya akan menjadi bentuk penyusunan semula masyarakat yang terbaik pada umumnya. Dia memanggil penglihatannya untuk utopia sosialistik "Dunia Moral Baru." [16]

Model utopia Owen tidak banyak berubah sepanjang hayatnya. Mengikut model yang maju sepenuhnya, 500 hingga 3,000 orang dalam satu penempatan adalah bilangan yang optimum untuk membentuk komuniti kerja yang berkesan. Walaupun cenderung ke arah bidang pertanian, tetapi akan dilengkapi kelengkapan jentera yang tercanggih, menawarkan pelbagai jenis pekerjaan, dan bersifat mandiri sejauh yang mungkin. Owen menjelaskan lebih lanjut bahawa apabila bilangan komuniti ini bertambah, "kesatuan sesama mereka akan dibentuk secara bergabung dalam lingkungan puluhan, ratusan dan ribuan" dikaitkan dengan kepentingan bersama.

Kritikan terhadap Robert Owen dan jawapan beliau

Owen sentiasa cuba menyebarkan idea beliau kepada masyarakat yang lebih luas. Pertama sekali, beliau mula menyiarkan idea-ideanya di dalam surat khabar. Kemudian, beliau mengedarkan surat khabar kepada ahli-ahli parlimen, ahli-ahli politik seluruh negara, dan tokoh-tokoh penting yang lain. Munculnya reaksi negatif pertama terhadap idea beliau selepas makalah ini diterbitkan.

Para penentang idea Owen berpendapat bahawa rancangan Owen akan menyebabkan peningkatan jumlah penduduk dan kemiskinan yang tidak terkawal. Antara kritikan lainnya termasuk bahawa rancangan Owen dan penggunaan segala benda secara terkongsi awam pada dasarnya akan menyebabkan negara menjadi sebuah bengkel besar. William Hone mendakwa bahawa Owen menyamakan orang dengan tumbuhan yang terurai dari akarnya, yang hendak ditanam secara berpetak-petak. Ada lagi pihak yang menuduh Owen ingin memenjarakan orang dalam bengkel seperti berek tentera lalu menindas kemerdekaan peribadi mereka.

Para penentang Owen juga memandang beliau sebagai musuh kepada agama. Pengaruh beliau dalam kalangan pemerintah yang diharapkan akan membantu beliau untuk merealisasikan "Rancangannya", mula berkurangan sementara tersebarnya khabar angin mengenai sifatnya yang tidak warak. Owen percaya bahawa individu-individu berkenaan akan bermusuhan dengan orang-orang di sekeliling mereka melainkan satu perubahan dapat dicapai dalam perwatakan dan persekitaran hidup mereka. Selagi adanya urutan sosial sedemikian, maka aspek-aspek positif agama Kristian tidak dapat dipraktikkan sekali-kali. Owen juga merasakan perlunya untuk memberi orang ramai lebih banyak kebebasan untuk memperbaiki keadaan golongan miskin dan kelas pekerja. Melainkan jika orang ramai lebih terdidik, melainkan jika mereka mendapat maklumat yang lebih berguna dan mempunyai pekerjaan tetap, mereka mengancam keselamatan negara sekiranya diberi lebih banyak kebebasan daripada Perlembagaan British pada masa itu. Tanpa perlu membuat perubahan di institusi kebangsaan, beliau percaya bahawa sekadar menyusun semula kelas pekerja akan memberi manfaat yang besar. Oleh itu, Owen tidak setuju dengan pandangan radikal yang ingin membawa perubahan dalam mentaliti orang ramai dengan memperluas hak mengundi. [21]

Rujukan

WikiPedia: Robert Owen http://www.answers.com/topic/1828?cat=technology#h... http://www.fotolibra.com/gallery/1305183/robert-ow... http://www.online-literature.com/forums/showthread... http://www.archive.coop/collections/personal-paper... http://faculty.evansville.edu/ck6/bstud/robtowen.h... http://socialarchive.iath.virginia.edu/ark:/99166/... http://catalogo.bne.es/uhtbin/authoritybrowse.cgi?... http://bioguide.congress.gov/scripts/biodisplay.pl... http://aleph.nli.org.il/F/?func=find-b&local_base=... http://data.bibliotheken.nl/id/thes/p068459211